Sijil Kemahiran Malaysia

Sijil Kemahiran Malaysia ( SKM )

Persijilan Kemahiran Malaysia merupakan salah satu fungsi utama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dibawah Kementerian Sumber Manusia. Persijilan ini menawarkan lima (5) tahap persijilan iaitu :

  • Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1
  • Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2
  • Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3
  • Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4
  • Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Tahap 5

Faedah Persijilan Kemahiran Malaysia

  • Persijilan Kemahiran diiktiraf oleh industri di Malaysia
  • Persijilan Kemahiran Malaysia menyediakan suatu laluan kerjaya dan pembangunan diri yang menarik setanding dengan laluan kerjaya berasaskan kelayakan akademik.
  • Persijilan Kemahiran Malaysia berupaya melahirkan pekerja mahir yang terlatih dan berkelayakan untuk mempertingkatkan daya saing industri tempatan di pasaran dunia.

Syarat Kelayakan Menyertai Persijilan Kemahiran Malaysia

Syarat minimum menyertai latihan Persijilan Kemahiran Malaysia Kaedah Pertauliahan melalui Institusi Latihan yang diiktiraf, calon-calon mestilah :

  • Boleh bertutur dan menulis dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris
  • Mempunyai SKM tahap yang lebih rendah untuk menyertai SKM tahap yang lebih tinggi dalam bidang kursus yang sama.

 Program kemahiran yang disenaraikan melalui laman web ini adalah terletak di bawah kawalselia Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Proses penilaian dan pentauliahan adalah dibuat oleh JPK mengikut peruntukan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) serta peraturan dibawahnya.

Program-program yang ditauliahkan oleh JPK didaftarkan dalam Daftar Kelayakan Malaysia selaras dengan penguatkuasaan Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 melalui pelaksanaan Kerangka Kelayakan Malaysia oleh Agensi Kelayakan Malaysia.

Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1

Pada tahap 1 pelatih akan dilatih di peringkat asas iaitu Peringkat Operasi dan Pengeluaran.

Tempoh latihan diberikan adalah selama 6 bulan.

Pelatih boleh melanjutkan latihan ke peringkat seterusnya iaitu SKM Tahap 2.

Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2

Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 juga masih diperingkat asas, Peringkat Operasi dan Pengeluaran.

Tempoh latihan juga diberikan selama 6 bulan.

Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3

Untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, pelatih perlu menamatkan latihan tahap sebelumnya iaitu SKM Tahap 2.

Di tahap ini, pelatih akan dilatih dalam Penyeliaan.

Tempoh latihan di tahap 3 ini adalah selama 1 tahun.

Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4

Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 ini adalah peringkat yang lebih tinggi dalam tahap-tahap kepakaran pelatih-pelatih.

Masih dalam peringkat Penyeliaan tetapi lebih kepada peringkat tinggi.

Tempoh latihan DKM Tahap 4 adalah selama 1 tahun.

Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Tahap 5

Pada tahap Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) ini sudah memasuki peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat Pengurusan.

Tempoh latihan dalam tahap ini adalah selama 1 tahun setengah.

Kelebihan 5 Tahap Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)

Jika pelatih berjaya menjalani sehingga ke tahap tertinggi iaitu DLKM Tahap 5, sudah berbaloi untuk mempunyai kerjaya yang cemerlang.

Sebenarnya jika mengikut carta alir tahap-tahap Persijilan Kemahiran Malaysia, pelatih boleh menuntut ilmu sehingga MTM Tahap 8 iaitu peringkat Malaysian Skills Technology.

Dilihat dari sudut masa depannya maka boleh dikatakan bidang kemahiran semakin mendapat tempat di hati pelatih yang merebut peluang yang semakin lumayan.

Majikan industri-industri di Malaysia ini juga semakin berani untuk merebut pelatih separuh mahir dan mahir ini untuk berkhidmat di premis mereka.

Apatah lagi kerajaan Malaysia telah meletakkan harapan tinggi dalam bidang kemahiran dengan wujudnya Revolusi Industri 4.0.