PENGASAS

Puan

Hajjah A.Maryam Bt KH Hasan Basri, Dlll, B.A (IKIP) M.A.Pend.(UKM)

Alfatihah

Almarhumah Hajjah Adek Maryam Binti KH Hasan Basri telah berpulang ke Rahmatullah pada 19 RabiulAwwal 1433-H bersamaan 12hb. Februari 2012-M jam 3.45 dinihari di Kedah, Malaysia dalam usia 65 tahun. Di semadikan di pemakaman Islam Masjid Al Bukhari, Alor Setar, Kedah.
Almarhumah adalah Pengasas Utama Sekolah Menengah Langkasuka (1985) dan Institut Kemahiran Langkasuka (2001). Kedua-dua institusi ini masih beroperasi hingga sekarang. Almarhumah anak ke 7 daripada 9 beradik, lahir 17hb. Jun 1946 di Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia.
Ayahanda Almarhumah seorang ulama di Sumatera Barat dan mantan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Syarie Sumatera Tengah. Neneknda sebelah ibunya KH Sheikh Sulaiman Ar Rasuli seorang tokoh ulama serta pendiri Pasantren Tarbiyah Islamiyah Candung Bukit Tinggi dan pengasas Persatuan Tarbiyah Islamiyah Republik Indonesia, beliau pernah dilantik sebagai Ketua Hakim Mahkamah Agong Syarie serta Ketua Dewan Konstituante R.I. pertama.
Almarhumah berkahwin dengan Haji Abdul Jalil Hj. Ahmad (DR) asal Kedah, pada 14hb. Ogos 1970 di Jakarta, dikurniakan dua puteri Camelia Mustafiani dan Cynthia Ratnadewi serta enam orang cucu.
Tahun 1975, berpindah ke Kuala Lumpur mengikut suami yang bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia kemudian ke Universiti Utara Malaysia 1984 di Kedah. Almarhumah sosok individu yang sangat pemurah dan aktif dalam berbagai bidang organisasi kemasyarakatan khususnya pendidikan menengah.
Selama 27 tahun, Almarhumah berbakti dan mengabdi dalam pendidikan menengah di negeri ini dengan mendirikan serta mengelola sepenuhmasa sebuah sekolah menengah swasta akademik.
Dua belas tahun menjelang akhir hayatnya, Almarhumah mengasas dan mengelola bersama suami sebuah Institut Kemahiran Langkasuka, bagi pelajar-pelajar tercicir dalam akademik atau bagi mereka yang berminat dalam pendidikan vokasional, institut ini adalah sebuah kolej kemahiran, Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia Malaysia.
42 tahun kesetiaannya dalam mendampingi suami dan anak-anak, kepulangan Almarhumah Kehadirat Ilahi Rabuljalil, adalah suatu kehilangan besar dan amat memilukan kepada suami, anak-anak, cucu dan seluruh keluarga, rakan-rakan seperjuangan serta masyarakat, khususnya dalam bidang pendidikan.
Almarhumah tidak pernah mengeluh, penat dan merasa lelah dalam menabur khidmat bakti serta jasanya, walaupun keadaan fizik Almarhumah kurang sihat sehingga ke saat-saat akhir hayatnya.
Almarhumah juga tidak pernah berhenti dari terus menimba ilmu serta memperdalam pengajian agama Islam walaupun sudah memiliki pendidikan tinggi dari Indonesia dan Malaysia. Sehingga ke akhir hayat, Almarhumah tetap aktif dan melakukan kerja-kerja kebajikan antaranya sebagai Penasihat Mahkamah Juvana Negeri Kedah yang amat disenanginya dan terus berkhidmat dengan memberi nasihat kepada mahkamah dan anak-anak remaja yang bermasalah.
Kini Almarhumah telah tiada dan telah pergi dan sampai ke destinasi yang dituju oleh setiap mereka yang bernafas pasti akan pergi jua. Cita-cita murni dan perjuangannya tetap diteruskan dan akan menjadi ikutan serta suntikan semangat Allah S.W.T. mencucuri Rahmat ke atas roh Almarhumah setimpal dengan bakti, amalan dan kebajikan yang dicurah sepanjang hayatnya.

Ikuti Kami Di Facebook

Hiperangkai

Institut Kemahiran Langkasuka Lot 31, Seksyen 3 Jalan Raya Gurun, 08300 Gurun, Kedah Darul Aman.
| Tel: 04- 468 3509 | Fax: 04 – 468 1068 | Email: info@inskil.edu.my |